Prosedur Mengambil Lesen Memandu

Prosedur Mengambil Lesen Memandu

Peratusan kemalangan di jalan raya meningkat hampir setiap tahun terutama kemalangan melibatkan penunggang motosikal. Terdapat 4 punca utama kemalangan jalan raya dan salah satu daripadanya ialah tiada lesen memandu. Hal ini kerana, pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu sudah pasti kurang arif mengenai peraturan jalan. Jadi, pada artikel kali ini kita akan bersama-sama mengupas prihal lesen memandu.

                    

Kebiasaannya orang ramai akan memilih untuk mengambil lesen D(lesen kereta) dan lesen B2(lesen motosikal). Jadi, sebelum anda membuat keputusan untuk mendaftar di mana-mana sekolah memandu, anda hendaklah memastikan umur anda telah mencapai had kelayakan untuk mengambil lesen. Had kelayakan umur adalah seperti berikut :

  • Lesen B2 - Genap usia 16 tahun ke atas iaitu sehari selepas tarikh kelahiran
  • Lesen D - Genap usia 17 tahun ke atas iaitu sehari selepas tarikh kelahiran

 

Langkah 1 : Membuat Pendaftran

Selepas memastikan umur anda telah mencapai had kelayakan, anda hendaklah membuat pendaftran sama ada melalui agen mahupun di pusat memandu itu sendiri. Lazimnya, semasa anda membuat pendaftarandi pusat memandu, anda akan diminta untuk membuat pembayaran peringkat pertama iaitu ¾ dari harga asal lesen dan anda juga boleh terus menghadiri kelas KPP01 pada hari yang sama anda membuat pembayaran. Harga yang biasa ditawarkan oleh pusat memandu adalah sekitar RM300-RM600 bagi lesen B2 dan RM1000-RM 2000 bagi lesen D (kereta manual), bergantung pada negeri masing-masing. Namun lain pula ceritanya jika anda berdaftar melalui agen. Tarikh dan masa bagi kelas mahupun ujian akan diuruskan oleh agen mengikut persetujuan bersama. Manakala harga ditawarkan oleh agen pula sememangnya jauh lebih tinggi berbanding pusat memandu kerana hal seperti pengangkutan dan menempah hari kelas ataupun ujian akan diuruskan sepenuhnya oleh agen.

 

Langkah 2 : Menghadiri Kursus KPP01 (6 Jam)

Kursus Penilaian Pemandu atau lebih dikenali sebagai Kursus KPP01 adalah wajib dihadiri oleh pelajar selama 6 jam pada hari yang sama tanpa gagal. Meskipun anda menghadiri kursus tersebut pada jam yang pertama (3 jam) dan gagal menghadirkan diri pada jam yang seterusnya, anda turut dikira sebagai tidak hadir dan perlu membuat ulangan pada hari lain. Sungguhpun begitu, ketika anda menghadiri kursus KPP01, anda hendaklah mematuhi etika pemakaian yang telah ditetapkan.

Etika pemakaian bagi lelaki : T-shirt berkolar, berseluar panjang serta memakai kasut yang bertutup. Anda dilarang memakai baju tanpa lengan dan bertopi.

Etika pemakaian bagi perempuan : Berpakaian kemas dan memakai kasut bertutup manakala bagi yang tidak bertudung, anda dikehendaki  memakai T-shirt berkolar dan kasut bertutup. Anda  tidak dibenarkan memakai skirt pendek dan baju tanpa lengan. 

Bagi mereka yang mengambil lesen D, Kursus KPP01 ini dijalankan pada setiap hari kecuali Jumaat  manakala bagi lesen B2 pula hanya dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad. Namun hari yang dinyatakan mungkin akan berubah-ubah mengikut negeri mahupun pusat memandu itu sendiri.

 

Langkah 3 : Ujian Bahagian 1 (Undang-Undang Berkomputer)

Anda akan menghadapi ujian bahagian 1 iaitu ujian undang-undang berkomputer yang terbahagi ke tiga bahagian soalan iaitu :

Bahagian A : mempunyai 15 soalan dan soalan yang akan ditanya adalah berkaitan dengan “papan tanda”.

Bahagian B : mengandungi 25 soalan berkaitan “Panduan Berhemat”. Tip untuk skor di bahagian ini adalah anda harus berfikir secara logik dan cuba untuk kaitkan dengan situasi yang sebenar ketika berada di jalan raya serta apakah tindakan yang wajar diambil atau anda boleh dapatkan lebih banyak tip lulus di sini 

Bahagia C : mengandungi 10 soalan sahaja namun pada bahagian ini anda akan diuji mengenai “Akta Pengangkutan Jalan dan Sistem KEJARA” . Jadi, mahu ataupun tidak anda harus jawab berdasarkan fakta dan untuk skor bahagian ini anda harus mengulangkaji buku panduan memandu yang anda terima semasa menghadiri kursus KPP01.

Ujian bahagian 1 ini mengambil masa selama 1 jam dan mengandungi 50 soalan. Markah minimum untuk lulus ujian ini adalah 42/50 manakala bagi mereka yang mengambil dua kelas lesen misalnya lesen D dan B2 sekaligus, anda harus menjawab 70 soalan dan perlu lulus 59/70. Selain itu, anda juga dikehendaki membawa kad pengenalan dan wang tambahan sebagai langkah selamat jika terdapat sebarang bayaran tambahan.

Namun, sebelum anda menghadapi ujian bahagian 1, anda akan diuji terlebih dahulu dengan Ujian Kecacatan, Warna dan Penglihatan serta Ujian Statik iaitu ujian buta huruf.  Jika anda gagal dalam kedua-dua ujian ini, anda adalah dilarang untuk menduduki ujian bahagian 1. Ujian ini mengandungi 8 soalan dan anda harus mendapat markah 8/8 dalam masa 15 minit sahaja.

Selepas lulus dalam ujian undang-undang berkomputer, anda dikehendaki menyerahkan salinan kad pengenalan dan gambar berukuran lesen kepada pusat memandu ataupun agen anda untuk proses penyediaan Lesen LDL.

 

Langkah 4 :  Peroleh Lesen LDL

Dalam tempoh seminggu hingga 2 minggu, anda akan memperolehi lesen LDL atau dikenali sebagai lesen L. Sah laku lesen L adalah selama 2 tahun dan perlu diperbaharui setiap 3 bulan.

 

Langkah 5 : KPP02 ( Amali Di Litar)

Semasa menghadari KPP02, anda akan diberi penekanan mengenai dua perkara iaitu :

  • Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK)
  • Rutin Sebelum Memandu (RSM)

Bagi pelajar lesen kelas D, anda perlu menghadiri KPP02 ini selama  6 jam 30 minit dan bagi pelajar lesen kelas B2 adalah selama 9 jam 30 minit. Tempoh masa yang telah ditetapkan ini perlu dihabiskan dalam masa 1 hari itu juga. Selain itu, anda juga diingatkan untuk mematuhi etika pemakaian seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dan membawa bersama lesen L anda.

 

Langkah 6 : KPP03 ( Belajar Memandu)

Bagi KPP03 pula bersifat lebih fleksibel kerana anda boleh menyelesai tempoh masa yang ditetapkan mengikut kelapangan anda serta anda juga boleh membuat tempahan (booking) untuk belajar memandu dengan menelefon pusat memandu ataupun memaklumkan pada agen anda.

Bagi lesen kelas D, anda harus menjalani KPP03 selama 10 jam manakala lesen kelas B2 adalah selama 4 jam.

 

Langkah 7 : QTI (Ujian Penilaian)

Ujian penilaian ini akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari pusat memandu yang anda berdaftar. Kebiasaannya, ujian penilaian ini dijalankan selama 30 minit dan anda akan diuji seperti mana ujian JPJ. Bagi pelajar memandu lesen kelas D, anda akan diuji dengan :

  • Bahagian I : Naik bukit
  • Bahagian II : Meletakkan kereta (parking) dan pusing 3 penjuru
  • Bahagian III : Jalan raya

Manakala bagi lesen kelas B2 :

  • Bahagian II : Litar (titian 8 saat, pusingan 8, brek kecemasan dan lain-lain)
  • Bahagian III : Ujian peraturan jalan raya

Setelah lulus ujian ini, anda boleh terus menempah tarikh ujian praktikal JPJ pula.

 

Langkah 8 : Ujian Praktikal JPJ

Pada setiap hari rabu setiap minggu, ujian praktikal JPJ ini adakan diakan. Antara elemen yang akan diuji adalah sama seperti di ujian QTI. Anda haruslah lulus ujian praktikal ini untuk membolehkan lesen P anda diproses.

 

Langkah 9 : Perolehi Lesen Memandu Percubaan (Lesen P)

Lesen P ini mengambil masa selama 1 hingga ke 7 hari bekerja untuk disiapkan. Selepas mendapat lesen ini, barulah anda dibenarkan untuk memandu di jalan raya.

 

Kesimpulannya, terdapat 9 langkah mudah untuk mendapatkan lesen memandu. Patuhi semua prosedur di atas dan sudah pasti urusan membuat lesen berjalan dengan lancar. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan artikel faktor kegagalan dan tip lulus bagi ujian berkomputer dan ujian praktikal JPJ di sini.

Jika anda sedang mencari pusat memandu, anda boleh melawat laman web kami di www.lookp.com atau anda boleh terus ke klik pada pusat memandu ini untuk mendapatkan senarai pusat memandu yang terdapat di sekitar Malaysia.

Share