Faktor Kegagalan Mengambil Lesen Serta Tip Lulus

Apakah punca-punca yang membawa kita ke jalan kegagalan untuk mendapatkan lesen memandu? Di manakah silapnya? Dan apakah tip-tip untuk lulus semua ujian memandu? Tak perlu stress atau berputus asa dalam hal berkaitan lesen memandu ini kerana pada kali ini kita akan bersama-sama membongkar punca kegagalan ujian memandu serta penyelesaiannya.

Lazimnya, pelajar memandu akan berasa gementar dan takut untuk menghadapi 2 jenis ujian ini, iaitu :

  • Ujian Undang-Undang Berkomputer
  • Ujian Praktikal JPJ

Jadi, apakah langkah-langkah yang harus diikuti agar lulus dengan sekali percubaan? Mari kita mulakan dengan Ujian Undang-Undang Berkomputer terlebih dahulu.

Seperti yang telah dibincangkan dalam artikel sebelum ini, Ujian Bahagian 1 iaitu Ujian Undang-Undang Berkomputer mempunyai 3 bahagian utama iaitu Bahagian A, B, dan C. Soalan yang akan ditanya pada Bahagian A adalah berkaitan papan tanda dan seharusnya anda perlu skor banyak dalam bahagian ini kerana papan tanda (signboard) seakan sudah tidak asing dalam pandangan harian kita.  Bukan sahaja papan tanda ini dapat dilihat di lebuhraya malahan di persimpangan rumah kita sendiri pun ada. Jadi, apakah yang membuat kita tak dapat skor bahagian ini?

  • Terlalu gementar hingga jawapan yang mudah pun menjadi sukar bagi anda
  • ‘Over confident’ hingga cuai dalam memberi jawapan
  • Kurang mahir menggunakan komputer terutama golongan yang berusia

Sebaiknya, jangan terlalu gementar mahupun terlalu yakin kerana dua perkara ini akan memberi impak negatif kepada keputusan ujian anda nanti. Apa yang boleh anda buat adalah :

  • Baca soalan dengan teliti kerana sesetengah soalan meminta jawapan ‘KECUALI’ tapi anda bagi jawapan yang betul pula. Jadi jangan cuba-cuba untuk ‘skip’ soalan kerana kadang-kala ia boleh menjadi perangkap kegagalan untuk anda.
  • Lihat, faham dan ambil tindakan. 3 ciri ini adalah merupakan fungsi utama papan tanda. Jadi anda hanya perlu praktis ciri ini dengan memerhati dan menilai keadaan sebenar kenderaan ketika di jalan raya. Jika ketiga-tiga ciri ini dapat dipraktikkan semaximum mungkin maka tidak mustahil untuk anda menjawab kesemua soalan dengan betul. Mudah bukan?

Mari kita berbincang pula mengenai Bahagian B. Soalan yang bakal ditanya di dalam bahagian ini adalah berkaitan ‘Panduan Berhemat’. Mengandungi 25 soalan dan sebolehnya anda hendaklah skor sekurang-kurangnya 21/25.

Sejujurnya, soalan yang terdapat di dalam bahagian ini lebih panjang,kadang kala mengelirukan dan sedikit sukar berbanding soalan di bahagian A. Antara punca-punca utama calon tidak dapat skor dalam bahagian ini adalah :

  • Tidak memahami kehendak soalan. Lain yang ditanya, lain pula yang anda jawab.
  • Keliru dengan pilihan jawapan. Hal ini biasa terjadi kepada setiap calon kerana pilihan jawapan yang diberikan seakan betul atau salah kesemuanya.
  • Tidak dapat berfikir dengan sempurna. Perkara seperti ini boleh terjadi apabila anda berasa tertekan dengan soalan sebelumnya dan tidak dapat berfikir dengan sempurna pada soalan seterusnya.

 Tindakan yang wajar diambil untuk skor dalam bahagian ini adalah:

  • Faham kehendak soalan dengan mencari isi/point penting di dalam soalan tersebut. Anda juga sekali lagi diingatkan untuk membaca dengan teliti dan berhati-hati dengan soalan yang mempunyai perkataan ‘KECUALI’.
  • Membuat pilihan jawapan dengan berhati-hati tetapi bijak. Kekeliruan ini terjadi hanya disebabkan oleh perasaan cemas anda sahaja. Jadi anda dinasihatkan untuk sentiasa bertenang dan membaca soalan serta pilihan jawapan sebanyak 2 kali.
  • Anda perlulah berfikir menggunakan logik akal. Biasanya, soalan yang ditanya di bahagian B bersifat lebih kepada nilai-nilai positif ketika memandu. Jadi gunakanlah akal logik anda untuk mendapatkan jawapan yang betul.

Manakala pada bahagian C pula, anda akan diuji dengan Akta Pengangkutan Jalan & Sitem KEJARA. Pada bahagian ini agak sukar sedikit untuk menggunakan logik akal kerana soalan dalam bahagian ini adalah berdasarkan fakta semata dan mengandungi 10 soalan sahaja. Apakah faktor utama kegagalan dalam bahagian ini? Baiklah, mari kita meneliti ciri-ciri di bawah:

  • Malas dan tidak mengulangkaji buku panduan memandu.
  • Terlupa fakta yang telah dibaca

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk anda skor dalam bahagian ini adalah :

  • Ulangkaji, faham, hafal dan membuat latihan sebanyak yang boleh. Ini sahaja langkah paling selamat yang patut diambil oleh anda.
  • Isu terlupa pula dapat dielakkan sekiranya anda sudah bersedia dengan ilmu yang lengkap dan minda yang cergas.

Cemas melihat buku memandu yang agak tebal? Bimbang tidak sempat untuk baca kesemuanya? Jangan bimbang kerana tidaklah kesemua topik yang akan ditanya.  Di sini, terdapat beberapa topik yang kerap ditanya pada bahagian ini :

  • Jenis dan kelas lesen memandu - misalnya, Lesen A adalah dikhusus untuk kenderaan orang cacat.
  • Akta Pengagkutan Jalan 1987 – Had laju dan sebagainya.
  • Sistem Demerit – Fokus pada mata dimerit yang diberikan kepada pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas dan proses pengantungan lesen.
  • Sistem KEJARA – maksud dan fungsi sistem ini

Dalam bahagianC, anda sebolehnya perlu memastikan untuk tidak melakukan kesalahan lebih daripada 2 ke 3 soalan.

 

Ujian Praktikal JPJ

Kebanyakan calon akan berasa ‘kecut perut’ dan mungkin gementar apabila tiba masa untuk menghadapi ujian JPJ. Minda calon sentiasa dibebani dengan perkataan ‘SUSAH’. Sebenarnya, ujian praktikal JPJ ini tidak kesukar yang disangkakan sekiranya anda sudah seratus peratus bersedia dengan ilmu dan latihan yang  lengkap. Ujian praktikal JPJ ini adalah seakan sama dengan Ujian QTI yang anda telah jalani berjam-jam lamanya semasa di pusat memandu. Jadi, mengapa perlu risau lagi?

Sebelum anda memulakan ujian bahagian II, anda hendaklah melakukan Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK) dan Rutin Sebelum Memandu (RSM).

Berikut adalah diantara elemen yang akan dinilai semasa ujian praktikal JPJ serta kesalahan lazim yang dilakukan oleh calon:

Calon lesen memandu kelas B2 (motosikal) bagi ujian Bahagian II :

BENTUK UJIAN YANG DIUJI

KESALAHAN

TIP

Laluan Titi

(sepanjang 7 ke 8 meter dalam masa 7 saat)

-Menurunkan kaki ke atas jalan raya

-Keluar dari laluan titi

-Guna gear kedua

-Menunggang secara perlahan

-Mengimbangi motosikal

-Membuat kiraan “satu ribu satu” hingga “satu ribu tujuh”

Pusingan 8

-Menurunkan kaki ke atas jalan raya

-Terlebih membuat pusingan

-Guna gear kedua kerana dikedukan gear ini lenih lancar iaitu tidak terlalu perlahan atau laju

-Ikut pusingan 8 tersebut betul-betul supaya tidak terbabas / terlebih buat pusingan

Laluan Zig-Zag

-Menurunkan kaki

-Terlanggar kon

-Elak dari melanggar kon dengan membawa motosikal menggunakan had kelajuan sederhana

-Menjaga jarak motosikal dengan kon

Brek Kecemasan

(rekod catatan perlu kurang dari 6 saat)

-Melepasi kotak penamat

-Tidak berada di kotak penamat

-Menurunkan kaki kanan atau kedua-dua belah kaki semasa di kotak penamat

-Perlu memecut motosikal anda untuk mencapai rekod kurang dari 6 saat.

-Munggunakan 60% tekanan pada brek kaki dan 30% pada brek tangan

-Pastikan kaki kanan masih di brek kaki manakala kaki kiri di atas jalan raya semasa di kotak penamat.

Jalan Tidak Rata

-Terkeluar dari litar

-Menurunkan kaki

-Memandu dengan laju

-Pandu dengan had laju yang bersesuaian dan berhati-hati

 

Setelah selesai ujian bahagian II, calon akan terus menjalani ujian bahagian III iaitu jalan raya. Sebelum meneruskan ujian ini, anda wajib membuat Rutin Sebelum Memandu(RSM) sekali lagi. Pada ujian bahagian III ini, anda perlu mahir dan faham isyarat tangan seperti isyarat tangan untuk membelok, memperlahankan kenderaan atau memberhentikan kenderaan.  Manakala selepas selesai, anda harus meletakkan motosikal anda dengan”Stand” dua kaki. Kegagalan calon meletakkan motosikal pada ‘stand’ dua kaki akan menyebabkan markah anda ditolak.

 

Baiklah, mari kita berbincang pula mengenai ujian praktikal JPJ bagi lesen D pula. Majoriti calon memandu lesen kelas D ini akan menghadapi kesukaran semasa menghadapi ujian jalan raya iaitu ujian bahagian III. Jadi, apakah tip emas yang perlu dipatuhi oleh calon untuk lulus dengan cemerlang dalam ujian ini? Mari kita bongkar 1 per 1 tip ini:

PERKARA

KESALAHAN

TIP

Persimpangan/

membelok

-Tidak berhenti

-Berhenti melebihi garisan putih

-Gagal memberi isyarat/signal untuk membelok

-Masuk lorong pemandu yang lain

-Memastikan anda berhenti 2 meter dari garisan putih

-Beri isyarat/signal untuk membelok

-Guna gear rendah

-Jangan brek atau menukar gear semasa di selekoh

Had laju

-Gagal mematuhi peraturan had laju

-Patuhi pearturan had laju dan hafal had laju yang diperlu digunakan di jalan raya atau berada di tempat-tempat khas seperti kawasan sekolah.

Double line

-Memotong kenderaan lain

-Jangan memotong sama sekali

Kawalan Stereng

-Tidak meletakkan tangan pada stereng di posisi sepatutnya

-Menggunakan sebelah tangan sahaja

-Melanggar garisan tengah hingga menganggu pengguna jalan raya yang lain

- Tangan di posisi pukul 10 dan 2.

-Guna dua-dua tangan untuk memegang stereng kecuali untuk menukar gear dan menarik brek tangan.

Lampu isyarat

-Tidak mematuhi peraturan lampu isyarat

-Memucut semasa lampu isyarat berwarna kuning.

-Patuhi peraturan lampu isyarat.

 

Bulatan

-Gagal memberi laluan kepada pengguna lain yang berada di sebelah kanan

-Berhenti terlalu ke depan sehingga menganggu pengguna yang lain untuk bergerak.

-Beri keutamaan kepada pengguna yang berada di sebelah kanan

-Guna gear rendah

 

Peraturan Jarak

-Mengikut kenderaan di hadapan begitu rapat.

-Brek mengejut

-Patuhi peraturan jarak selamat

 

Kesimpulannya, latihan dan ulangkaji yang mencukupi amatlah diperlukan agar proses menjalani ujian berlangsung dengan lancar. Patuhi segala tip yang diberikan dan pasti anda mampu lulus dengan cemerlang dalam Ujian Undang-Undang Berkomputer mahupun Ujian Praktikal JPJ.

Sekiranya anda berhajat untuk mendaftar di mana-mana pusat memandu, anda boleh ke senarai pusat memandu di Malaysia ini untuk mendapatkan informasi mahupun nombor untuk dihubungi.

Akhir kata, “Berhenti berbicara mengenai Masalah dan mula berfikir mengenai Penyelesaiannya”. Selamat maju jaya!

Share