Backpack Travel VS Agensi Pelancongan: Kelebihan dan Keburukan

   Melancong sudah tidak asing lagi bagi mereka yang mengimpikan percutian yang indah bersama keluarga mahupun bersama sabahat. Jika sebut sahaja mengenai percutian, minda seakan segar mengeluarkan idea bagi destinasi idaman masing-masing. Akan tetapi, persoalan yang utama yang akan berlegar-legar di minda adalah ingin bercuti secara ‘backpack travel’ atau menerusi agensi pelancongan? Yang mana satu lebih bagus dan berbaloi?

Kepada mereka yang lebih berminat untuk menonton video pendek mengenai topik ini anda boleh terus klik video di bawah:

 

Namun jika anda lebih berminat dalam membaca, sila teruskan pembacaaan anda.        

    Baiklah, mari kita cungkil terlebih dahulu kelebihan perjalanan sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘backpack travel’. Pertama, melancong secara ‘backpack’ ini lazimnya tidak terikat dengan jadual yang padat. Bagi mereka yang mengemari aktiviti bebas dan tidak terikat dengan jadual, ‘backpack’ adalah plihan yang sangat terbaik. Anda bebas ke destinasi tujuan anda mengikut kelapangan anda pada waktu itu bahkan tiada sekatan bagi anda untuk menjelajah ke mana sahaja yang anda inginkan. Sungguhpun begitu, adakalanya apa yang dirancang tidak mampu untuk dipenuhi kerana mempunyai kekangan masa.

   Kenapa? Masalah utama bagi seorang ‘backpack’ adalah berhadapan dengan situasi sesat dan tidak tahu cara untuk ke destinsi yang ingin dituju. Jika melancong di dalam negara, isu ini tidaklah begitu berat namun bagi mereka yang melancong ke luar negara, anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan masalah komunikasi dengan penduduk setempat. Jika bernasib baik, anda akan bertemu dengan orang yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk bertanya, jika tidak anda harus mencari sendiri berpandukan peta, papantanda dan sebagainya. Masalah sebegini sebenarnya banyak membuang masa untuk sampai ke satu destinasi. Oleh sebab yang demikian, banyak rancangan mungkin akan tergendala kerana kesuntukan masa.

   Berbincang mengenai bajet pula, ‘backpack’ sememangnya tidak mempunyai sebarang bajet yang tetap. Perbelanjaan itu boleh jadi murah dan tidak mustahil juga untuk jadi begitu mahal. Hal ini terpulang kepada individu itu sendiri dalam menguruskan perbelanjaan mereka. Anda berhak untuk memilih tempat penginapan anda sama ada murah ataupun mahal. Namun, tiada bajet tetap pun boleh menimbulkan permasalahan yang besar. Bagaimana ianya terjadi?

   Jika anda tidak mempunyai bajet yang tetap, anda tidak dapat membuat anggaran jumlah yang harus dibelanjakan semasa melancong. Sudah pasti anda tidak tahu mengenai kos pengangkutan awam, kos penginapan, kos makan dan sebagainya. Jika anda sudah bersedia dengan wang saku yang banyak, hal ini tidaklah menjadi satu masalah tetapi jika sebaliknya, anda akan berhadapan dengan masalah kewangan yang krisis. Untuk mencari tempat penginapan dengan harga yang rendah bukanlah perkara yang mudah lebih-lebih lagi jika berada di luar negara. Benar, anda sudah membuat kaji selidik mengenai hotel yang murah sebelum melancong, tetapi persoalannya adakah anda akan temui hotel tersebut? Tidak pasti, bukan? Pokoknya, tepuk dada tanya poket. Adakah duit anda akan mencukupi ataupun tidak.

   Mari kita berbicara pula mengenai agensi perlancongan pula. Agensi pelancongan memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselesaan para pelancong dari segi penginapan, pengangkutan, makanan dengan pakej yang sangat menarik dan berbaloi. Apakah kelebihan agensi perlancongan? Antaranya ialah jadual yang teratur. Jika anda mengikuti mana-mana agensi pelancongan, selalunya mereka sudah menyediakan jadual yang tetap dari awal penerbangan pergi sehinggalah penerbangan balik. Jadi anda tidak perlu risau dan khuatir mengenai penginapan, pengangkutan, destinasi yang akan dituju dan sebagainya kerana semuanya ditanggung beres oleh pihak agensi. Bagi mereka yang amat mementingkan pengurusan masa yang baik, melanconglah menerusi agensi pelancongan. Kerana anda tidak perlu membuang masa untuk berhadapan dengan situasi mencari lokasi yang ingin dikunjungi ataupun merangka aktiviti seharian. Agensi pelancongan sudah bersedia dengan aktiviti ditambah pula dengan senarai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi dalam tempoh percutian anda.

   Akan tetapi ada juga individu yang merungut dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana mereka tidak boleh ke destinasi selain daripada yang telah ada di dalam senarai pakej. Isu ini tidak patut timbul pun sebenarnya. Hal ini kerana bukankah anda berhak memilih pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan? Jadi sebelum anda bersetuju menggunakan mana-mana perkhidmatan agensi pelancongan, anda seharusnya mengkaji terlebih dahulu pakej yang ditawarkan seperti lihat senarai destinasi yang bakal dikunjungi, kaji selidik tempat penginapan dan lain-lain hal yang berkaitan. Selepas membuat penilaian, barulah anda boleh membuat keputusan untuk menggunakan khidmat agensi pelancongan tersebut ataupun tidak. Maka, soal tidak dapat ke destinasi pilihan sebegini tidak perlulah ditimbulkan.

   Bagaimana pula dengan bayarannya? Murah ataupun mahal? Ianya bergantung kepada agensi itu sendiri dan juga pakej yang ditawarkan. Anda boleh memilih pakej yang sesuai dengan bajet anda. Kos utama seperti kos penginapan dan pengangkutan tidak perlu dibimbangi kerana kos tersebut sudah termasuk dengan harga pakej. Anda hanya perlu membawa duit untuk membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan dan untuk membeli makanan sampingan. Oleh itu, anda dapat membuat bajet dengan sempurna dan dapat mengawal perbelanjaan agar tidak melebihi bajet asal.

   Terdapat juga segelintir individu yang menyangkal dengan mengatakan bahawa pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan terlalu mahal. Namun secara rasionalnya, sebagai pelanggan anda berhak membandingkan harga antara agensi-agensi pelancongan yang sedia ada agar sesuai dengan bajet anda. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, membuat kaji selidik terlebih dahulu tentang pakej-pakej yang ditawarkan dan dalam waktu yang sama selidik mengenai latar belakang sesebuah agensi pelancongan tersebut agar kes penipuan dapat dielakkan.

   Kesimpulannya, perjalanan bebas mahupun agensi pelancongan kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keburukan yang tersendiri. Keputasan dan pilihan adalah ditangan anda. Anda berhak memilih sama ada ingin melancong secara ‘backpack’ ataupun menerusi agensi pelancongan. Saranan saya, jika anda berhajat untuk ke luar negara, pilihlah untuk menggunakan khidmat agensi pelancongan kerana mereka lebih arif mengenai tempat-tempat yang menarik dan tidak perlu membuang masa untuk mencari destinasi dan sebagainya. Namun sekiranya anda bercadang untuk bercuti di setikar Malaysia sahaja, perjalanan bebas adalah pilihan terbaik. Sesat pun boleh cari jalan keluar dengan mudah kerana masih dalam Malaysia dan tiada masalah untuk bertanya kepada penduduk setempat.

    Untuk mendapatkan khidmat agensi pelancongan yang terbaik sekitar Malaysia, anda boleh mengunjungi link ini. Anda boleh menilai sendiri tahap perkhidmatan mereka menerusi komen-komen dari pelanggan sebelum ini. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan senarai hotel dan homestay di Malaysia dengan klik homestay Malaysia dan hotel Malaysia.

   Akhir kata, jelajahi dunia ini selagi ada kesempatan kerana apa yang kita hadapi hari ini akan menjadi kenangan yang terindah.

 

 

 

Share